Pendidikan Islam amat penting dalam menjana generasi Rabbani pada masa akan datang. Rentetan daripada inilah tercetusnya idea untuk menubuhkan Sekolah Rendah Islam sepenuh masa. Ianya bermula dengan perbincangan kecil sebilangan ibubapa yang menghantar anak-anak mereka ke tadika ABIM. Mereka mahu anak-anak mereka ini terus menerima pendidikan Islam sepenuhnya sepertimana yang mereka pelajari ketika di tadika. Satu organisasi telah ditubuhkan untuk membincangkan perkara ini dengan lebih serius. Kata sepakat telah diambil dan sekolah yang bakal ditubuhkan ini akan berdaftar dengan Majlis Agama Perak.
Berkat usaha yang berterusan ini, bangunan Sekolah Agama Rakyat yang terletak di Kota Lama Kiri telah dijadikan bangunan sementara Sekolah Rendah Islam. Tanggal 4 Januari 1988 bermulalah sesi pembelajaran yang pertama di sekolah ini. Seorang guru dan seorang ustaz telah diamanahkan untuk mengajar murid sulung seramai 22 orang. Murid-murid ini terdiri daripada anak-anak AJK sendiri dan mereka yang sebelum ini belajar di tadika ABIM.
Pada tahun kedua penubuhannya seorang mudir telah dilantik untuk mentadbir sekolah. Manakala pada 30 Januari 1990 setelah dua tahun beroperasi, sekolah ini dengan rasminya telah berdaftar di bawah Jabatan Agama Islam Perak. Murid dan guru saban tahun bertambah, oleh itu Jemaah Pengurusan sekolah telah bercadang untuk membina bangunan sekolah yang baru. Allah mendengar doa hamba yang berjuang untuknya, kebetulan di kampong yang sama terdapat tanah wakaf yang masih belum digunakan. Hasil perbincangan Jemaah Pengurusan Sekolah dan pihak pemegang wakaf maka Sekolah Rendah Al-Furqan akan dapat bangunannya sendiri. Jemaah Pengurusan Sekolah dengan gigihnya telah mencari dana pembangunan dengan mengutip derma dari orang perseorangan dan masyarakat sekitarnya.
Pada tahun 1992 bangunan Sekolah Rendah Al-Furqan telah siap dibina, maka berpindahlah para guru dan murid-murid ke bangunan setingkat baru untuk meneruskan sesi persekolahan disitu. Murid- murid ini bukan sahaja diajar dengan ilmu Islam mereka juga diajar dengan ilmu akademik dengan menggunakan kurikulum yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan. Tenaga pengajar juga yang berpengalaman terdiri daripda lepasan Al-Azhar, STPM, STAM dan SPM. Sungguhpun pengajaran dengan penuh kesederhanaan tetapi penuh keberkatan, ramai daripada bekas murid dari sekolah ini telah berjaya ke menara gading dan bekerjaya.
Setelah lebih kurang 9 tahun beroperasi, pada tahun 1995 Sekolah Rendah Al-Furqan telah membina bangunan 3 tingkat di tanah wakaf yang sama. Pembangunan ini telah mendapat sumbangan daripada Jabatan Agama Islam Perak dan Bantuan Kewangan PLB melalui Pejabat Daerah Kuala Kangsar.
Sehingga kini setelah 20 tahun Sekolah Rendah Al-Furqan terus menabur khidmat dan bakti untuk melahirkan insan yang kamil dan generasi rabbani mendukung Falsafah Pendidikan Islam yang telah ditetapkan.